Sunday, February 5, 2012

Ingin bantu penternak keli

Dipetik daripada arkib Utusan Malaysia 04/09/2009
Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan memberikan makanan kepada ikan keli semasa majlis perasmianThe Rights Bio Keli Industries Berhad di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

RAMAI penternak keli telah menyedari kehadiran dan mengenali secara umumnya satu produk atau rumusan pemakanan istimewa yang dibangunkan berteraskan bioteknologi keluaran Perintis Agrotech Centre (PAC), sebuah syarikat 100 peratus milik bumiputera yang menjalankan aktiviti pembangunan bioteknologi dalam sektor perikanan, pertanian dan penternakan.

PAC yang ditubuhkan pada 2006 ini, mengorak langkah lebih jauh dalam bidang pertanian, bukan semata-mata terlibat dalam aktiviti huluan tetapi dalam usia yang masih muda tampil dengan teknik ternakan keli kaedah Pro-Asli iaitu satu kaedah pemakanan alternatif yang menggabungkan sumber semulajadi dan bioteknologi yang berupaya mengurangkan pergantungan ikan kepada pelet dan dapat mengurangkan kekerapan pemberian makanan.

Teknik tersebut sejajar dengan dua matlamat utama Pro-Asli iaitu mengurangkan kos makanan ikan dan meningkatkan keuntungan penternak.

Kaedah ini menawarkan tiga bahan utama iaitu Bio-Mineral (membentuk makanan semulajadi), Bio-Vita (membantu tumbesaran dan serapan protin tinggi) dan Bio-Aqua (merawat air dan mengekalkan sumber makanan asli di dalam air).

Bio Mineral berfungsi untuk menggalakkan pertumbuhan makanan asli seperti zooplankton, fitoplankton, protein dan alga kepada ikan sekali gus mengurangkan kadar pemberian makanan sokongan yang lain.

Bio Mineral perlu diaktifkan di dalam kolam ternakan lima hari sebelum benih keli dimasukkan ke dalam kolam manakala Bio Vita perlu dicampur dengan pelet berprotein tinggi berfungsi untuk membantu mempercepatkan tumbesaran ikan dengan memperbaiki mikro-flora ikan, memperkuatkan antibodi bagi mengurangkan kematian akibat penyakit dan meningkatkan kualiti ikan.

Ia juga sesuai digunakan pada ternakan ikan air tawar yang lain seperti patin, tilapia, puyu dan sebagainya. Pelet yang telah dicampur dengan Bio Vita hanya diberi makan kepada ikan empat kali seminggu sahaja.

Bio Aqua berfungsi untuk merawat air dari berbau, menukarkan najis ikan kepada lumut, mengurangkan kadar ammonia dan kekerapan penukaran air ternakan serta rawatan penyakit bagi ikan. Kaedah rawatan Bio Aqua ini perlu diulangi setiap dua minggu sehingga tuaian.

Kos keseluruhan makanan (ProAsli dan pelet) bagi satu kg ikan masih rendah iaitu RM1.20 - RM1.50 berbanding RM4 hingga RM4.50 bagi penggunaan 100 peratus pelet dan tempoh tumbesaran antara tiga dan empat bulan bergantung kepada kualiti benih yang dimasukkan.

Satu set Pro Asli sesuai untuk 3,000 ekor ternakan dan hanya menggunakan empat beg pelet berprotein tinggi sehingga tuaian.

Apa yang menariknya, kesemua produk yang dihasilkan oleh PAC ini menggunakan ekstrak cacing dan mikrob hidup sebagai bahan asas utama dalam pembuatan dan melalui proses fermentasi yang masih mengekalkan protein yang tinggi dalam adunan tersebut.

Perintis juga menawarkan pakej ternakan keli kaedah Pro Asli kepada para penternak dengan jaminan belian balik selama tiga tahun.

Pakej berharga RM5,000 itu menawarkan tiga set kolam kanvas, 9,000 ekor anak benih, pelet berprotein tinggi dan tiga set Pro Asli untuk penggunaan sehingga waktu tuaian.

Pakej Jaminan Belian Balik ini hanya terbuka kepada mereka yang berada di Perak, Lembah Klang dan Selangor sahaja. Bagi mereka yang berada di luar kawasan tersebut, hasil tuaian perlulah dihantar sendiri ke pusat pengumpulan keli milik Perintis di Chemor, Perak atau di Rawang, Selangor.

Ikan-ikan tersebut akan digunakan dalam penghasilan Jus Keli Omega 3 yang akan dikeluarkan oleh Perintis secara komersial pada penghujung September ini dan penghasilan keli berempah melalui anak syarikat PAC, Perintis Food Industries di Bandar Sungai Buaya, Selangor.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kaedah ini, satu bengkel ternakan keli Pro Asli akan diadakan di Ipoh, Perak pada 12 September dan di Kuala Lumpur pada 10 Oktober. Yuran penyertaan adalah sebanyak RM50 sahaja.

Bengkel tersebut juga akan mengenengahkan wakil dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak yang akan membentangkan kertas kerja "Pengendalian dan Pemasaran Ikan Keli."

Seorang penternak ikan keli yang berjaya, Mohd. Edzrie Tajuddin turut berkongsi ilmu dengan para peserta tentang rahsia kejayaan beliau dalam bidang penternakan ini.

Beliau merupakan pembekal ikan keli segar kepada FAMA Negeri Perak.

Bengkel tersebut diharap dapat membuka peluang dan ruang kepada penternak ikan keli untuk meneruskan semula ternakan mereka dan memberikan garis panduan kepada para penternak tentang pemasaran ikan segar ke saluran yang lebih tepat.

Powered by Qumana

Ingin bantu penternak keliSocialTwist Tell-a-Friend

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...